Monday, April 7, 2014

Nasi ayam RM1.90 sepinggan


Ramli di hadapan restorannya.

Nasi ayam RM1.90 sepinggan- Dalam keghairahan ramai peniaga menaikkan harga makanan di premis mereka berikutan kenaikan harga bahan mentah termasuk bahan api, masih ada peniaga di sini tetap menjual dengan harga lama.

Seorang pengusaha kedai makan nasi ayam di Gong Kemuntong, Jertih, Ramli Mat Zaid, 43, berkata, dia masih mengekalkan harga nasi ayam yang dijualnya iaitu RM1.90 sepinggan, sejak premisnya yang terletak di depan Padang Astaka Jertih, di sini, beroperasi hampir lapan tahun lalu.
Menurutnya, harga nasi ayam biasa yang dijualnya masih sama tanpa mengubah saiz ayam dan nasi sejak dulu lagi walaupun harga ayam dan beras naik.
“Walaupun kekal dengan harga lama dan barangan pula semakin mahal, saya masih dapat untung meskipun tidak sebanyak ketika harga bahan mentah murah.
“Saya berniaga nasi ayam ini bermula daripada harga ayam sekitar RM4.50 sekilogram sehinggalah harga sekarang kira-kira RM6.50 sekilogram, namun saya masih mampu menjual dengan harga murah,” katanya yang mempunyai lapan pekerja.
Ramli berkata, memang menjadi hasratnya semasa memulakan perniagaan untuk menjual nasi ayam itu dengan harga RM1.90.
Katanya, pelanggan yang menempah nasi ayam dengan air minuman teh 'O' ais di kedainya hanya perlu membayar RM2.90 sahaja.
“Walaupun harga ayam meningkat, tetapi apabila pelanggan ramai berkunjung ke kedai kita, tetap memberi pulangan menguntungkan,” katanya yang menyediakan kira-kira 80 hingga 100 ekor ayam sehari.
Bagaimanapun katanya, bagi nasi ayam spesial, harga yang dijual telah naik sebanyak 50 sen pada awal tahun ini daripada RM3.00 menjadi RM3.50 sepinggan.
Sementara itu, salah seorang pelanggannya, Mohd Razali Mahmud, 31, berkata, dia menjadi pelanggan setia di kedai itu kerana harga nasi ayam yang dijual murah dan berpatutan.

“Langkah pengusaha kedai nasi ayam ini yang tidak menaikkan harga membuktikan peniaga masih mampu mendapat keuntungan walaupun harga barang mentah naik.
“Masalah sekarang, harga bahan mentah naik tidak seberapa, tetapi peniaga menaikkan harga makanan melampau-lampau,” katanya



No comments:

Post a Comment