Saturday, April 5, 2014

Tiada Pengesahan Isyarat Detik Yang Dikesan Berkaitan MH370 - JACC



PERTH, 6 April (Bernama) -- Ketika pencarian pesawat Malaysia yang hilang memasuki hari ke-30 pada Ahad, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia memaklumkan ia belum dapat mengesahkan isyarat detik yang dikesan di selatan Lautan Hindi oleh kapal peronda China itu, datang dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Ketua Penyelaras JACC Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata isyarat detik elektronik yang dilaporkan dikesan oleh Haixun 01 "tidak dapat disahkan pada masa ini".

"Saya telah dimaklumkan bahawa beberapa siri bunyi telah dikesan oleh kapal China di kawasan pencarian.

"Ciri-ciri dilaporkan adalah konsisten dengan kotak hitam pesawat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata beberapa objek putih juga dilihat pada permukaan kira-kira 90 kilometer dari kawasan pengesanan.

"Bagaimanapun, tiada pengesahan di peringkat ini bahawa isyarat dan objek adalah berkaitan dengan pesawat yang hilang," katanya. Houstan berkata beliau akan menyediakan maklumat pada waktunya jika terdapat maklumat lanjut.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama. Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment