Wednesday, March 19, 2014

Penduduk Maldives nampak jet terbang rendah



Peta menunjukkan laluan yang mungkin dilalui oleh MH370 – Grafik dipetik dari BBC

Penduduk Maldives nampak jet terbang rendah

NEW DELHI - INDIA. Penduduk di kepulauan Maldives mendakwa ternampak sebuah pesawat yang ciri-cirinya menyamai fizikal MH370 membuat penerbangan rendah pada 8 Mac lalu.

Memetik laporan portal Haveeru.com, beberapa penduduk di Kudahuvadhoo melihat pesawat tersebut pada jam 6.15 pagi (9.15 pagi waktu tempatan).

Menurut saksi, pesawat tersebut yang berwarna putih dan mempunyai garisan merah, padan dengan sifat pesawat MAS yang dilaporkan hilang.

Katanya lagi, pesawat tersebut bergerak dari utara ke hujung selatan Maldives.

Saksi yang ditemui juga menambah, bunyi pesawat tersebut amat bising semasa bergerak merentasi kepulauan tersebut.

"Saya tidak pernah lihat jet yang terbang sebegitu rendah. Saya pernah lihat pesawat ringan dan saya pasti jet tersebut bukan pesawat ringan.

"Bukan saya sahaja, beberapa orang lagi juga nampak. Sesetengah daripada mereka keluar dari rumah untuk melihat apakah yang menyebabkan bunyi bising tersebut," kataya.

Sementara itu, laporan itu menyebut, seorang pakar penerbangan tempatan memberitahu, bahawa 'kemungkinan besar' MH370 melintasi Maldives.

Bagaimanapun, kebarangkalian untuk mana-mana pesawat untuk terbang rendah pada waktu yang direkodkan adalah sangat rendah.

Kudahuvadhoo merupakan sebuah pulau kecil yang mempunyai kira-kira 3,580 penduduk dan telah diterokai oleh seorang pengembara dan ahli etnografi dari Norway, Thor Heyerdahl pada awal 1980-an.

Pulau ini antara lokasi yang cepat membangun di Maldives dan pihak kerajaan memutuskan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang di Kudahuvadhoo menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, ahli Majlis pulau Kudahuvadhoo, Mohamed Zaheem berkata, penduduk pulau telah bercakap mengenai insiden berkenaan.
   
Penerbangan MH370 itu dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama  239 penumpang dan anak kapal hilang, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 8 Mac lalu.

Penyiasat memberitahu, bahawa ia sengaja dilencongkan daripada laluannya.
 
Sejak ia dilaporkan hilang, 26 negara kini membantu untuk mengesan pesawat berkenaan selepas satelit dan data radar tentera meramalkan ia mungkin terbang melalui dua koridor yang besar.
   
Koridor utara terbentang dari utara Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan manakala koridor selatan bermula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
  
Data satelit mencadangkan bahawa 'ping' terakhir, istilah yang digunakan untuk menjelaskan penghantaran data dalam bentuk isyarat pendek kepada satelit, diterima daripada pesawat berkenaan di sekitar Lautan Hindi.


No comments:

Post a Comment